Thursday, April 8, 2010

Gabungan Bertindak Gemilang Mirza

GABUNGAN Bertindak pelabur Gemilang Mirza di pedalaman mendakwa publisiti perniagaan berkonsepkan Kongsi Niaga yang meluas di stesen media kerajaan dan penglibatan serta sokongan wakil-wakil rakyat kerajaan di dalam majlis-majlis melibatkan syarikat itu telah mendorong dan memberi pengaruh untuk melakukan pelaburan.

Pengerusi Induk mewakili ahli-ahli Gemilang Mirza Keningau, Jeffrus Mamin Rijan berkata, publisiti melalui saluran rasmi informasi Kerajaan Malaysia yang cukup berpengaruh iaitu TV 1 menjemput Pengasas dan Pengarah Gemilang Mirza Sdn, Bhd. Y.Bhg. Datuk Ag. Binting Bin Pangiran Mat Salleh sebagai tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia pada 21 November, 2008, sudah cukup meyakinkan bahawa Gemilang Mirza Sdn. Bhd. adalah merupakan satu syarikat yang sah dan diiktiraf oleh bukan sahaja Kerajaan Negeri Sabah bahkan juga oleh Kerajaan Malaysia.

“Oleh itu secara tidak langsung kerajaan harus bertanggungjawab terhadap kerugian ahli-ahli yang mencecah 50,000 pelabur,” kata Jeffrus lagi.

Gabungan Bertindak seramai 21 yang mewakili setiap daerah di Sabah itu menyerahkan satu salinan (kepada Sabahkini.net) memorandum yang ditujukan kepada Ketua Menteri Sabah, memohon agar kerajaan bertanggungjawab terhadap kerugian para pelabur.

Jeffrus juga berkata, perutusan Ketua Menteri sempena Majlis Pelancaran Produk Barangan Keluaran Mirza dan Malam Gemilang pada tahun 2008 telah memberi keyakinan kepada pelabur terhadap syarikat itu, selain paparan media massa telah memperlihatkan sokongan kerajaan sendiri terhadap syarikat Gemilang Mirza sekali gus telah menyumbang pengaruh yang begitu besar terhadap orang ramai untuk menyertainya.

“Kita merasa teraniaya dan diperdayakan kerana puluhan ribu rakyat mengalami kerugian berjuta-juta ringgit, sedangkan pelabur sebenarnya benar-benar yakin dengan adanya sokongan media kerajaan dan pemimpin sendiri terhadap perniagaan yang telah beroperasi sejak 8 tahun yang lalu,” kata Jeffrus.

Katanya, para pelabur Gemilang Mirza terdiri dari kakitangan kerajaan dengan harapan mendapat sumber kewangan yang lebih.

Beliau mendedahkan bahawa para pelabur itu terdiri dari kakitangan dipelbagai jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan, termasuk para penjawat rendah awam, guru-guru biasa, guru-guru besar, pengetua-pengetua sekolah menengah, kakitangan hospital, dengan jumlah modal perkongsian ribuan ringgit. bahkan ada diantara mereka yang membuat pinjaman bank, menjual harta benda dan berhutang.

Bank Negara telah mengharamkan operasi perniagaan Gemilang Mirza atas dakwaan mengambil deposit dari orang ramai secara haram. Pada ketika ini pengasas syarikat itu menjalani prosiding mahkamah atas dakwaan mengambil deposit secara haram.

Jefrfrus berkata mereka merasa teraniaya dan merayu serta mendesak agar kerajaan bertanggungjawab terhadap nasib wang pelaburan rakyat dengan mengembalikan wang mereka.

Menurut Jeffrus, memang malang bagi Gemilang Mirza Sdn. Bhd kerana setelah membantu meningkatkan ekonomi rakyat terutama Bumiputera selama operasinya, tindakan telah dilakukan tanpa mengambil kira nasib pelabur dan kebijaksanaan pentadbiran syarikat itu dalam menjalankan perniagaannya.

“Gabungan Jawatan Kuasa Bertindak yakin jika Gemilang Mirza Sdn. Bhd, dibenarkan beroperasi semula, dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi kaum Bumiputera negeri ini sekali gus dapat membantu kerajaan mengatasi masalah kemiskinan dalam negeri Sabah khasnya,” ujar Jeffrus.

Gabungan itu juga mendakwa, Awang Binting adalah ibarat kisah seorang anak yang memberi nasihat kepada Sultan dalam memerangi serangan todak dalam kisah raja-raja melayu.

Bagaimanapun, budak tersebut yang telah menyelamatkan satu kerajaan menjadi ancaman kepada kedudukan raja tersebut di masa akan datang kerana kecerdikannya telah dibunuh.

“Seorang yang mempunyai kemahiran dalam bidang ekonomi seperti Awang Binting, telah menjadi ancaman kepada parti-parti di Sabah, kerana takut pengaruh Binting menjangkau mereka di masa akan datang…” kata sumber itu yang turut melampirkan memorandum keluhan gabungan bertindak tersebut.