Thursday, January 15, 2009

Bank Negara serbu Gemilang Mirza Sdn. Bhd

menurut maklumat yg aku dpt di sabah nih, keadaan agak panik dikalangan pelabur GM tapi kita lihat lah bagaimana perkembanganya..

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu syarikat Gemilang Mirza Sdn. Bhd. kerana disyaki mengambil deposit tanpa lesen sah dan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram di pejabatnya di Papar, Sabah hari ini.

Tindakan diambil mengikut Seksyen 25 (1) Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) 1989 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembanterasan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Jabatan Komunikasi Korporat BNM dalam kenyataannya memberitahu, Seksyen 25 (1) BAFIA 1989 melarang mana-mana individu untuk mendapat, mengambil atau menerima deposit tanpa lesen sah.

Katanya, Seksyen 4 (1) AMLATFA 2001 pula menghalang mana-mana individu terlibat dalam atau cuba melibatkan diri atau bersubahat dengan aktiviti pengubahan haram.

"Serbuan terhadap Gemilang Mirza dibuat di premis syarikat di Papar, berikutan aduan yang diterima daripada orang ramai.

"BNM turut merampas aset dan dokumen untuk penyiasatan," kata kenyataan itu yang dikeluarkan di sini hari ini.

"Orang ramai diingatkan supaya berwaspada dengan skim pelaburan yang dianjurkan oleh individu atau syarikat yang tidak dilesenkan oleh BNM untuk menerima deposit untuk urus niaga mata wang asing.

"Senarai semua institusi berlesen yang dibenarkan menerima deposit terdapat di laman web BNM di www.bnm.gov.my," ujarnya.

Kata kenyataan itu, orang ramai yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi Pusat Perhubungan Awam BNM di talian 1-300-88-5465.